Aku sekadar memerhati pada tingkah lakunya dari jauh. Memerhati pada setiap kesibukannya. Memerhati pada setiap ruang sudut wajahnya. Pada mata. Pada bibir. Pada gelak ketawanya. Wajah yang sama itu pernah wujud dalam episod kehidupan aku yang terdahulu.Cuma pada kehidupan aku yang terdahulu, mata itu, bibir itu dan gelak ketawa itu jauh lebih hidup dan bertenaga berbanding dia pada hari ini.
Tiba-tiba dalam kesibukannya itu dia menoleh. Dia menoleh ke arah aku. Dan dia melihat aku. Matanya melihat aku. Benar-benar melihat aku. Lalu pandanganya itu terhenti buat seketika. Mungkin jauh difikirannya sedang menganalisa sesuatu. Ada sesuatu pada wajah itu. Wajah yang terlihat olehnya itu tidak terlalu asing. Wajah itu pernah muncul dalam kehidupan terdahulunya juga. Cuma wajah itu telah lama hilang. Tidak pernah muncul-muncul lagi. Lalu mungkin kotak ingatanya sudah tidak ada lagi tersimpan memori tentang lelaki itu.
Kemudian bibirnya itu mulai membentuk senyuman. Senyuman itu bukan senyuman kosong. Aku tahu dan aku yakin. Kerana ada sesuatu pada matanya yang tiba-tiba bersinar setelah melihat aku. Lalu senyuman itu tidak kosong. Senyuman yang cuba memberitahuku seuautu. Cuba memberitahu bahawa dia masih ingat wajah lelaki itu dan dia sudah memaafkan setiap apa yang pernah dilakukan oleh lelaki itu kepadanya.
Dan aku tersenyum. Membalas senyumannya dan kemudian berlalu pergi.
Membiarkan dia kembali kepada urusannya.
Membiarkan kenangan silam kekal menjadi kenangan silam dan hari ini adalah episod baru untuk semua.
No comments:
Post a Comment